Sunday, November 2, 2008

Wanita 'berpakaian telanjang' jangkiti Yaman




Setelah sekian lama menyewa rumah di luar, pada hari Jumaat minggu lalu (17 Oktober), saya kembali ke asrama pelajar Abu Luhum yang terletak di Jalan Sittin berhadapan Universiti Sana'a. Ketika pengajian tahun pertama dan kedua, di situlah tempat saya berteduh dan berlindung daripada kesejukan malam yang menggigit.

Menziarahi pelajar-pelajar di situ paling sesuai pada hari Jumaat kerana cuti dan tiada kuliah pengajian.


Khutbah Jumaat di situ kebiasaannya disampaikan oleh salah seorang ulama terkenal di sini iaitu Syeikh Hasan as-Syafie, pensyarah dalam bidang tafsir al-Quran di Universiti al-Iman dan cukup dikenali sebagai khatib yang berwibawa. Namun pada hari itu mungkin beliau masih bercuti. Maka mimbar Jumaat telah dinaiki oleh seorang pemuda yang tidak kurang lantangnya.

Isu yang dilontarkan kepada sidang jemaah pada minggu lalu adalah berkaitan pasca-Ramadan dan Aidilfitri. Juga disentuh tentang sikap kita terhadap agama Islam sebagai agama fitrah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan para pengikutmu) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (ikutlah) agama ciptaan Allah, iaitu agama yang Allah fitrahkan manusia untuk menerimanya..." (Surah ar-Rum: 30).

Ditegaskan agar para jemaah beriltizam penuh dengan seluruh ajaran Islam setelah kita semua kembali kepada keadaan fitrah suci daripada dosa-dosa (hakikat Aidilfitri).

Dalam tempoh setengah jam khutbah yang disampaikan itu, ada satu 'point' yang saya sangat tertarik untuk mengulasnya. Khatib telah menyentuh tentang fesyen berpakaian yang digayakan oleh gadis-gadis Arab Yaman yang kini sedang menuju ke arah kefasadan. Apakah yang dimaksudkan dengan 'fasad' di sini? Adakah seperti gadis-gadis remaja Malaysia yang berpakaian seluar ketat atau singkat atau londeh mempamerkan jenama seluar dalam? Atau T-shirt singkat 'nampak pusat' atau sendat menampakkan bentuk dada? Atau mewarnakan rambut dengan 'kaler berkarat'?

Tidak sama sekali! Apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah fesyen jubah yang berpotongan mengikut bentuk badan sudah mula menular. Sebelum ini jubah yang biasanya dipakai oleh Muslimah di Yaman ialah yang bersaiz longgar dan berwarna hitam atau gelap. Tudung mereka labuh sempurna menutup dada.

Lebih daripada itu, golongan wanita di Yaman keseluruhannya memakai niqab menutup wajah mereka ketika berada di luar rumah. Sekurang-kurangnya begitulah suasana yang pernah saya rasai pertama kali menjejakkan kaki ke Yaman lebih empat tahun lalu. Cuma baru setahun kebelakangan ini, golongan yang tidak berniqab ini semakin bertambah dan zahir dalam masyarakat. Saya tidak ingin membahaskan hukum memakai niqab ini dari sudut fekah. Kerana itu termasuk isu khilafiyah dan kolum ini hanyalah bingkisan santai bukan gelanggang ilmiah.

Yang menjadi subjek di sini ialah masyarakat Yaman memandang bahawa potongan jubah yang mengikut bentuk badan itu adalah satu jalan yang terbentang luas untuk menuju kepada kefasadan atau kerosakan dalam masyarakat (bagi orang Melayu pula, berbaju kebaya itu biasalah� dikira masih sopan dan 'tak berdosa' pun).

Telah ramai juga gadis-gadis Yaman yang melilit tudung mereka paras leher dan sekali gus menampakkan dada. Khutbah Jumaat juga memberi amaran tentang golongan ahli neraka yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis: "...dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi) bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok), kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapati baunya..." (Sahih Muslim).

Begitulah keprihatinan dan kepekaan masyarakat Yaman pada isu-isu agama. Mereka tidak menunggu sehingga keadaan menjadi parah seperti di Mesir, Syria, Lubnan, Jordan dan negara-negara Arab yang lain. Sehingga keadaan wanita mereka benar-benar menyerupai apa yang digambarkan dalam hadis di atas. Sesungguhnya ini merupakan satu mukjizat Nabi s.a.w. Memang benar pada akhir zaman ini begitu ramai golongan wanita yang 'berpakaian telanjang'.

Para ulama memberikan beberapa definisi berkenaan maksud hadis ini. Antaranya adalah: Pertama, dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat Allah tetapi 'bertelanjang' daripada mensyukurinya iaitu tidak bersyukur. Kedua, dikatakan ia membuka sebahagian anggota tubuhnya dan mendedahkannya secara zahir. Ketiga, dikatakan ia memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulitnya atau pakaian yang ketat menampakkan bentuk badannya.

Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis ini. Barangkali agak sukar untuk digambarkan keadaan tersebut pada zaman itu. Kerana Nabi s.a.w. menyatakan dalam hadis yang sama: "...aku belum pernah melihat mereka ini." Ertinya pakaian seumpama itu belum ada pada zaman jahiliah Arab dan para sahabat juga tentu tidak dapat membayangkan keadaan tersebut. Berpakaian telanjang? Bagaimana boleh disatukan dua perkataan yang berlawan maksudnya ini?

Perkara ini memang sewajarnya dijadikan peringatan untuk masyarakat Yaman dan sebagai satu renungan untuk masyarakat Islam di Malaysia. Di tanah air kita, yang menyedihkan ialah golongan wanita ini mengaku diri sebagai Muslimah. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan terus anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh. Kedua-duanya adalah bertentangan dengan akhlak Islam di mana seorang Muslimah dituntut supaya menutup aurat dengan sempurna.

Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau menutup kepala itu sudah dikira menutup aurat. Mereka mendedahkan anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh seperti buah dada, pinggang, punggung, paha dan betis. Inilah yang dikatakan 'bertelanjang'!


Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan mereka tak dapat memahami keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada anggota tubuh tersebut adalah lebih berperanan untuk menarik perhatian lelaki dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup rambut atau kepala.

Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimanapun ini bukanlah hujah untuk membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung. Jumhur ulama berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib ditutup kecuali bahagian muka dan dua telapak tangan.

Dipetik www.al-ahkam.net

No comments: