Thursday, August 21, 2008

Syarat Perubahan Sebenar Sesuatu Bangsa???

Syarat Perubahan Sebenar Sesuatu Bangsa

Md. Asham B. AhmadFellow12/08/2008 Berita Harian

Bangsa yang mahu maju kehadapan ialah bangsa yang mengambil pengajaran dari kesilapan sendiri dan juga bangsa-bangsa lain, serta belajar dari kelebihan dan kepandaian orang lain. Bangsa yang mahu berubah dari keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang baik atau yang sedia baik kepada yang lebih baik mesti belajar, yakni mahu belajar dan boleh diajar (menerima ajaran). Belajar adalah jalan memperoleh ilmu dan kepandaian, akan tetapi tidak semua orang yang melalui jalan itu sampai ke tujuan perjalanan. Ada syarat-syaratnya yang mesti dipenuhi, jika tidak sia-sia sahaja perjalanan itu.

Bijakpandai ada berkata: "Takkan sekali-kali beroleh ilmu seorang yang malu tidak juga yang takbur". Kata-kata ini amat dalam maknanya, dan harus direnungkan dengan cermat. Ia merujuk kepada sifat-sifat yang menjadi penghalang kepada kebolehajaran seseorang manusia.

Seseorang yang ‘hendak' atau ‘mahu' belajar dinamakan ‘murid', ertinya seorang yang memiliki ‘kehendak' atau ‘kemahuan' terhadap ilmu. Kehendak dan kemahuan untuk belajar datang dari keinsafan terhadap kejahilan diri sendiri yang merupakan suatu keaiban, kelemahan, dan kekurangan diri yang hanya boleh dihapuskan apabila ilmu mengambil tempatnya.

Keinsafan ini, jika benar-benar ianya keinsafan, mewajibkan suatu tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan, yakni memperolehi ilmu yang benar dengan jalan menuntutnya dari yang memilikinya.

Seorang yang malu untuk belajar bukanlah seorang yang menginsafi kekurangan diri kerana dia tidak menyedari bahawa kekurangan itu adalah sesuatu yang membinasakan kehidupannya. Seorang yang takbur pula enggan mengakui kelemahan dan kekurangan diri sehingga tidak memungkinkan dia meletakkan dirinya dibawah tunjuk ajar seseorang yang dia mesti akui kelebihan dan kewibawaannya.

Selagi kedua-dua sifat ini bersarang di jiwa, tidak mungkin seseorang itu meletakkan dirinya sebagai murid kepada sesiapa.Bangsa yang ‘mahu' berubah juga mesti memenuhi syarat yang sama. Ini tentunya sesuatu yang amat sukar kerana suatu bangsa mengandungi manusia yang ramai dan berbagai ragam karenahnya.

Mereka mesti diyakinkan dan dipujuk untuk berubah; justeru mereka mesti terlebih dahulu diinsafkan ‘kenapa' mereka mesti berubah, dan untuk menjelaskan ‘kenapa', mestilah diterangkan dahulu ‘apa' keadaan mereka yang sebenarnya dan ‘punca' atau ‘sebab' mereka berada di dalam keadaan itu.

Usaha mengubah sesuatu bangsa adalah usaha yang panjang dan jauh perjalanannya. Ia menuntut perjuangan yang diasaskan kepada kebijaksanaan, keikhlasan, kesabaran, dan keberanian.Usaha menyedar dan menginsafkan sesuatu bangsa peri hakikat keadaan mereka adalah peringkat pertama, terpenting, dan yang paling sukar. Ia hanya boleh bermula apabila timbul segolongan dari mereka orang-orang yang sedar dan insaf serta mahu pula berdayausaha menyedar dan menginsafkan bangsanya.

Pengalaman sejarah mengajar kita bahawa golongan ini seringkali menjadi sasaran kecaman, cemuhan, ejekan, dan momokan pada peringkat awalnya, dan mula ditindas dan diganyang sekiranya dilihat mendapat sambutan dan mula mengancam apa yang selama ini diterima.Seruan mengubah ‘pemikiran', ‘minda', ‘paradigma' bangsa Melayu bukanlah sesuatu yang asing bahkan semakin lantang kedengaran kebelakangan apatah lagi melihatkan kepada krisis akhlak dan siasah yang semakin parah.

Sudah menjadi kelaziman manusia, ‘sudah terantuk baru tengadah'. Apabila sesuatu masalah mencapai tahap krisis barulah riuh redam bertempik menuding jari menyalahkan satu sama lain. Perjumpaan, rundingan, perbincangan, seminar dan bengkel mula dianjurkan oleh pihak-pihak yang berkenaan bagi mengumpulkan buah fikiran buat memecahkan pokok persoalan. Akan tetapi, di tempat-tempat sebeginilah dapat disaksikan terzahir sifat sebenar bangsa Melayu, yang menjadi punca kemelut yang menyelubungi mereka, yakni bagaimana mereka meletakkan diri mereka dalam menghadapi masalah dan cabaran.

Mereka tidak mengenali keaiban dan kelemahan diri sendiri, masakan mampu pula mereka kenali dan akui taraf dan kedudukan manusia dalam soal ilmu, hikmah, dan kemurnian akhlak. Justeru, dalam kebanyakan keadaan, orang-orang yang mereka hurungi bagi mendapat nasihat dan pandangan buat pedoman adalah orang-orang yang sama sifatnya dengan mereka tetapi telah diletakkan oleh mereka sendiri sebagai pemimpin dan penunjuk jalan. Masakan si buta dapat menunjukkan jalan kepada yang lain?

Dalam keadaan begini, yang mereka perlukan ialah seorang yang jujur dan ikhlas menyatakan kelemahan-kelemahan dan keaiban-keaiban mereka agar terbuka mata hati mereka untuk melihat dan mengenali diri sendiri. Malangnya kejujuran, keikhlasan, keterbukaan, ketegasan, dan keberanian bukanlah sifat-sifat yang dipandang tinggi oleh bangsa kita. Sebaliknya, golongan pengampu, penghasad, dan munafik yang bermuka-muka lebih dihargai dan dimuliakan. Amat sukar untuk mengajak bangsa Melayu melihat ke dalam diri, menyelongkar dan mendedahkan keaiban-keaibannya agar dapat dibersih dan disucikan dirinya dari kotor dan noda.

Pengalamannya sebagai ‘tuan' dalam negara ini menjadikannya takbur dan pantang ditegur bahkan oleh kalangan bangsanya sendiri, inikan pula bangsa lain!Mereka melihat masalah, nasib, dan masa depan mereka dalam kerangka siasah kebangsaan dan semangat kenegaraan yang sempit. Demikian jugalah mereka mentafsirkan agama Islam dan keislaman mereka serta amanah yang mereka pikul. Lupakah mereka bahawa bangsa Melayu tidak punya sebarang kemuliaan jika tidak kerana agama Islam?

Lupakah mereka bahawa amanah mereka yang sebenar adalah terhadap agama Islam, dan dalam rangka itulah mereka sepatutnya mentafsir, memahami, dan melunaskan amanah-amanah mereka yang lain?

Apabila kedudukan siasah mereka tergugat dan tercabar, mereka hadapinya dengan semangat kebangsaan melulu, iaitu taksub. Si pentaksub tetap membela keluarga, puak dan bangsanya tanpa mengira mereka di pihak yang benar (dizalimi) atau salah (menzalimi). Si pentaksub adalah seorang yang ‘buta' matanya dan ‘pekak' telinganya. Dia hanya mahu melihat dan mendengar apa yang menyenangkan perasaannya.

Justeru, si pengampu dan si munafik diangkat menjadi penasihat dan sahabat karib. Masakan mereka ini akan memberikannya nasihat yang benar bahawa dia telah menzalimi diri sendiri dan mengkhianati amanah!Bangsa Melayu sepatutnya melihat kuasa siasah yang dimilikinya sebagai amanah Allah, yang tidak boleh dikhianati, yang boleh ditarik bila-bila masa apabila Dia kehendaki. Allah memuliakan atau menghinakan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Ketidakpuasan hati bangsa lain berpunca dari pengkhianatan bangsa Melayu sendiri terhadap amanah sementara yang dipikulkan ke atasnya. Bangsa Melayu telah menjadi zalim kerana tidak mengendahkan peringatan dan teguran.

Mereka menjadi zalim kerana ilmu mereka berkenaan agama Islam sudah dirosakkan oleh para ulama palsu yang melampau. Mereka menjadi zalim kerana berguru dengan manusia yang salah asuhan.

Mereka tidak akan beroleh petunjuk selagi mereka tidak mengubah sifat-sifat yang melayakkan mereka menerima petunjuk.

No comments: