Saturday, January 10, 2009

Meninggalkan Dosa Adalah Kehidupan Hati



Oleh: Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair

(Petikan buku ‘Kesaksian Seorang Doktor: Mensucikan Hati Melalui Kisah Nyata’)

“Motivasi Terunggul Seorang Manusia ialah Dengan Mentaati Tuhannya”

Sungguh aneh orang-orang yang menangisi jasad yang telah mati akan tetapi mereka tidak menangisi hati yang mati, padahal matinya hati lebih menyedihkan daripada matinya jasad.



Mereka mencari ubat paling mujarab ke manapun dan bilapun untuk penyakit jasad, akan tetapi tidak peduli sama sekali terhadap hati yang sakit, padahal penyakit hati lebih menakutkan. Dengan meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar sebenarnya mereka telah mengabaikan ubat penyakit hati.




Mereka sangat khuatir akan menyebarnya penyakit jasad, melakukan segala usaha pencegahan, sangat berhati-hati menghadapinya, mengeluarkan segala daya upaya dan harta untuk mencegahnya, akan tetapi mereka melalaikan kesiapsiagaan untuk menghadapi penyakit hati kecuali orang-orang yang mendapatkan hidayah dari Allah Ta’ala.



Bahkan mereka mengejek orang-orang yang berusaha mencegah menyebarnya penyakit hati, mereka berusaha untuk merosak semua sarana dan upayanya, mereka menganggap orang-orang ini sebagai kelompok terkebelakang, primitif, dan tidak mengikuti trend.

Sesungguhnya penyakit fizikal hanya memberikan kesan kepada orang itu sahaja, atau jika menular ia tidak akan menular kecuali kepada segelintir orang sahaja. Akan tetapi penyakit hati akan menyebar kepada seluruh umat, menyebabkan akibat yang penghujungnya sangat buruk.




Saudara-saudaraku yang mulia… Ketaatan kepada Allah Ta’ala merupakan satu kesembuhan untuk menjaga kelangsungan hidupnya hati seorang hamba. Ia samalah seperti keharusan tersedianya makanan dan minuman untuk menjaga kelangsungan hidup tubuh seseorang.


Kemaksiatan adalah makanan beracun yang dapat merosak hati. Ia bagaikan makanan busuk yang merosak tubuh bahkan bisa membunuhnya!

Seseorang yang selalu berusaha menjaga kehidupannya dengan memenuhi keperluan badan fizikalnya dengan makan secara teratur, maka jika suatu saat ia memasukkan makanan yang mengandungi racun atau makanan basi ke dalam tubuhnya maka hal itu dapat memberinya sakit bahkan membunuhnya.



Sesungguhnya kehidupan hati harus mendapatkan perhatian lebih dari hal di atas. Maka jika kita melakukan satu dosa selayaknya kita segera mensterilkan hati kita dari dosa ini dengan bertaubat dan menyesal.

Hal ini jangan disalahertikan bahawa kita tidak perlu memperhatikan kesihatan fizikal, sehingga ketika fizikal sakit tidak perlu berubat. Sekali lagi tidak. Pesan yang ingin saya sampaikan ialah bahawa sebagaimana kita memberi perhatian terhadap penyembuhan dan pengubatan penyakit fizikal, hendaklah kita turut memperhatikan hati dalam kadar yang sama.

Ini kerana sesungguhnya jika seseorang meninggal dunia kerana penyakit fizikal yang ia hadapi dengan sabar dan selalu berharap kepada Allah Ta’ala, insya Allah balasannya adalah Syurga.

Akan tetapi orang yang meninggal dalam keadaan hatinya sakit yang belum pernah ia ubati dengan taubat, penyesalan dan kemahuan kuat untuk meninggalkan kemaksiatan tersebut, mereka itu ialah orang-orang yang hatinya mati sebelum fizikalnya mati. Sesungguhnya nasib merekalah yang harus kita khuatirkan.


Terkujur jasad seorang hamba..mengharap secebis rahmat dari Tuhannya..

“Terkujur jasad seorang hamba.. Mengharap secebis rahmat dari Tuhannya.. Bersediakah kita? Justeru itu, taubat nasuhalah!”

Saya merasa sangat hairan kepada orang-orang yang apabila ia merasakan sedikit rasa sesak di dadanya atau sedikit sakit di jantungnya, ia akan segera merasa kebingungan dan segera mencari ubatnya. Bahkan ia akan terburu-buru mencari doktor paling bagus, bertanya ke sana dan ke mari untuk mencari doktor tersebut. Hal ini memang logik dan boleh diterima akal, hanya saja sikap mereka tidak adil. Jika hati salah seorang dari mereka yang ketakutan dari penyakit fizikal tersebut terluka oleh satu perbuatan maksiat, ternyata sangat sedikit yang segera berubat dengan taubat dan penyesalan.

Apakah mereka tidak ingin menghadap Tuhannya dengan hati yang sihat (bersih) sehingga mereka bisa meraih Syurga? Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Qur’an Al-Karim, Surah As-Syu’ara, ayat 88-89: “(iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”

Sungguh tidak ada yang selamat pada Hari Kiamat kecuali mereka yang menghadap Tuhannya dengan hati yang bersih.

Jika kehidupan seseorang yang terbebas dari segala penyakit fizikal menghantarkannya untuk menikmati hidup yang aman dari segala penyakit, maka sesungguhnya kesihatan hati akan menghantarkan seseorang menuju kehidupan yang bahagia di dunia dan kebahagiaan tak terbatas di Akhirat.

If I were to Pass Away “If I were to Pass Away.. Bersediakah kita untuk mati??”

Ibnu al-Mubarak Rahimahullah berkata;

Aku melihat dosa-dosa mematikan hati

Kadang kebiasaan melakukan dosa mengakibatkan kehinaan

Meninggalkan dosa adalah kehidupan hati

Itu lebih baik untuk dirimu dengan meninggalkannya.

Rasulullah SAW bersabda;

“Bukankah di dalam hati ada segumpal daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh tersebut. Akan tetapi jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh tersebut. Ketahuilah ia adalah qalbu (hati).” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]


Saudaraku… Hendaklah engkau selalu merawat hatimu agar selalu sihat terhindar dari segala dosa, selalu mencintai makanan-makanan bergizi berupa ketaatan, selalu membenci segala macam makanan yang terkontaminasi oleh kemaksiatan. Seandainya hatimu terkena imbas dari penyakit ini maka bersegeralah untuk mengubatinya dengan taubat dan penyesalan.

Allah Ta’ala berada di sebalik setiap kehendak, dan semoga Allah Ta’ala melimpahkan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW beserta keluarga dan para sahabatnya. Amiin.

SUmber: http://www.muhtarsuhaili.com/

No comments: