Saturday, January 10, 2009
Memahami Tuntutan Solat Berjamaah
Memahami Tuntutan Solat Berjamaah
Susunan: Amirizal Ishak (06-04-18)nurledge@gmail.com
Ibn Sa'ad menukilkan bahawa Said bin Musyayyab (tabi'in) pernah berkata: Aku tidak pernah mendengar azan di rumahku semenjak 30 tahun. Maksudnya, sebelum azan dilaungkan, Said bin Musyayyab sudah berada di masjid.
Diriwayatkan dari Ibn Abi Syaibah, Huzaifah r.a, bila terlambat solat dimasjid kaumnya, dia mengantungkan kedua sandalnya dan mencari masjid-masjid lain sehingga dia dapat solat berjamaah.
Dua contoh individual ini sebenarnya sedikit gambaran dari gambaran keseluruhannya daripada golongan salaf yang sangat memerhatikan amalan solat berjamaah. Merekalah paling hampir dengan Rasulullah s.a.w dan yang sangat memahami tuntutan amalan ini; kerana Rasullullah s.a.w sendiri adalah orang yang paling mementingkan solat berjamaah dan menjaganya walaupun dalam keadaaan pertempuran yang sengit, serta kesungguhannya untuk keluar menghadiri solat berjamaah walaupun dalam berkeadaan sakit yang berat.
Kembali kepada realiti pada hari ini, tanggapan umum tentang hukum solat berjamaah adalah fardhu kifayah iaitu terlepas atau gugur tuntutan sekiranya telah didirikan solat berjamaah oleh sebahagian yang lain dalam satu-satu kawasan atau qariah; sebagaimana pendapat yang dipegang Imam Nawawi dan sebagian para ulama Syafi'iyyah.
Namun harus diingat, status hukum solat berjemaaah adalah khilaf di antara para ulama. Mazhab Hambali seumpamanya meletakkanya fardhu Ain, juga mazhab Al-Zahiri, malah ada sebahagiannya meletakkannya sebagai syarat sah solat. Sementara Mazhab Maliki dan Hanafi pada umumnya menetapkan sebagai sunnat muakkad.
Yang dikatakan muakkad di sini ialah memperoleh pahala bagi orang yg mengerjakannya sementara berdosa bagi yangg meninggalkannya walaupun solat sendirian itu sah. Di dalam Mazhab Syafi'e sendiri, para ulamaknya tidak sepakat di dalam penetapan hukum samaada, farhdu kifayah, fardhu Ain atau sunat muaakkad. Malah al Imam Syafie sendiri di dalam kitabnya al Umm berkata "Tidaklah aku akan memberi keringanan bagi orang yang mempunyai kemampuan untuk melaksanakan solat berjamaah dan meninggalkan kehadiran kecuali dengan uzur." Sebahagian ulama hadis dari kalangan mazhab syafie juga berpegang dengan hukum fardhu ain seperti Abi Tasauri, Ibn Khuzaimah, Ibnu al-Mundziri dan Ibnu Hibban seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hajar dan Imam Nawawi di dalam kitabnya masing-masing, Fathul Bari, Kitabul Majmu'.
Untuk memberi gambaran betapa besarnya tuntutan solat berjamaah sebagaimana al Imam Syafi'e sendiri yang tidak memberi keringanan bagi orang yang meninggalkan solat berjamaah tanpa uzur, kita akan melihat sebahagian dalil-dalil daripada al-Quran and al-Sunnah yang dijadikan hujjah oleh para ulama dalam menetapkan hukum-hukum yang telah dinyatakan terutama yang mewajibkan solat berjamaah:
1.Perintah Allah untuk rukuk bersama orang-orang yang rukuk
"Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk" Al-Baqarah:43
Ibnu Jauzi dan Al-Baidhawi menjelaskan di dalam tafsir mereka, maksud "rukuklah bersama orang-orang yang rukuk" ialah hendaklah solat secara berjamaah. Imam Abu-Bakar al-Kasani al-Hanafi menafsirkannya bahawa Allah memerintahkan untuk solat berjamaah.
2. Perintah untuk melaksanakan solat berjamaah dalam keadaan takut.
"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sebahagian dari mereka berdiri(mengerjakan sembahyang) bersama-samamu dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh) dan hendaklah datang pula sebahagian yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga
serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing..." al Nisaa:102
Berkata Ibn Mundzir, ketika Allah memerintahkan solat (berjemaah) dalam keadaan takut(berlangsungnya peperangan), ia menunjukkan bahawa dalam keadaan aman lebih diwajibkan lagi. Berkata Ibn Qayyim, perintah Allah bagi kelompok kedua (yang belum bersolat) untuk menunaikan solat berjemaah, menunjukkan solat berjamaah itu bukan lagi fardhu kifayah malah fardhu ain.
3. Perintah Rasul s.a.w untuk melaksanakan solat berjamaah
Bahawasanya Nabi s.a.w memerintahkan sahabatnya agar mendirikan solat dengan berjamaah. Imam Bukhari meriwayatkan dari Malik bin Khuwairis r.a: Saya mendatangi Nabi s.a.w di dalam kelompok dari kaumku, dan kami tinggal bersamanya selama 20 malam, dan adalah beliau sangat mengasihi dan suka mendampingi, ketika beliau melihat kerinduan kami pada keluarga-keluarga kami lalu baginda bersabda: Pulanglah
kalian dan bersamalah dengan mereka serta ajarilah mereka dan solatlah kalian apabila telah datang waktu solat, hendaklah salah seorang di antara kalian azan dan hendaklah memimpin kalian orang (imam)yang paling tua dari kalian" Riwayat Bukhari dan Muslim. Para ulamak berhujjah dengan hadis ini iaitu dengan adanya perintah Rasulullah s.a.w tersebut menunjukkan kewajipan solat berjamaah.
4. Nabi s.a.w tidak memberikan keringanan kepada sahabatnya yang buta (Ibn Umi Makhtum r.a).
Imam muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a : "Telah datang seorang lelaki buta kepada Nabi s.a.w seraya mengadu kepadanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya tidak ada bagiku seseorang yang memimpinku ke masjid. Dia meminta kepada Rasulullah s.a.w untuk memberikan keringanan baginya agar dia dapat solat dirumahnya. Maka Rasulullah memberi keringanan baginya. Ketika dia berpaling, Rasulullah s.a.w memanggilnya dan bersabda: Apakah kamu mendengar seruan Azan? Dia menjawab: Ya. Lalu baginda bersabda
lagi: Maka wajiblah (kamu menghadiri solat tersebut). Di dalam riwayat Abu Daud, lafaz Abdullah bin Umi Makhtum pula berbunyi "Ya Rasullullah sesungguhnya aku adalah seorang yang cacat mata(buta), rumah aku jauh (dari masjid), sebenarnya aku mempunyai pembantu akan tetapi dia tidak mahu menghantarku, apakah ada bagiku keringanan untuk solat di rumahku?" Imam Khutabi berkomentar terdapat dalil bahawa menghadiri solat berjamaah adalah wajib hukumnya. Andaikata hal itu sunat pastilah yang paling utama untuk tidak hadir solat berjamaah adalah orang-orang yang buta dan lemah, dan orang seperti Ibn Umi Makhtum ra."
5. Tiada solat (tidak Sah) bagi orang yang tidak menghadiri solat berjamaah tanpa uzur.
Imam Ibn Majah meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa mendengar seruan Azan kemudian tidak mendatanginya maka tidak ada solat baginya kecuali uzur". Ali r.a, Abdullah bin Mas'ud r.a, Abdullah bin Abbas r.a, Abu Musa Al-Asya'ari r.a; masing-masing diriwayatkan bahawa mereka berkata "Barangsiapa mendengar seruan azan lalu tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya
kecuali keuzuran."
6. Orang yang meninggalkan solat berjamaah sebagai tanda-tanda kemunafikan.
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Nabi s.a.w bersabda: Tidak ada solat yang paling berat bagi orang-orang munafik daripada solat subuh dan Isya. Andaikata mereka mengetahui apa yang ada di dalam keduanya(pahala), pastilah mereka akan datang walaupun dengan merangkak." Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Masud
7. Syaitan menguasai satu desa/qariah yang tidak ditegakkan solat berjamaaah di dalamnya
Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abi Darda r.a : Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tidaklah tiga perkara di desa dan tidak di suatu lembah yang tidak didirikan di dalamnya solat berjemaah kecuali benar-benar syaitan telah menguasai mereka, maka wajib bagimu untuk menegakkan solat berjamaah. Sesungguhnya serigala itu memakan haiwan ternakan yang jauh dari penggembalanya."
8. Ancaman dan kemurkaan Allah Ta'ala terhadap orang yang meninggalkan solat berjamaah.
Imam Ibn Majah meriwayatkan dari Ibn Abbas dan Ibn Umar bahawa kedua-duanya telah mendengar Nabi s.a.w bersabda atas orang-orang yang meninggalkan solat berjamaah: "Sungguh hendaklah benar-benar berhenti kaum-kaum yang meninggalkan solat berjamaah atau pasti Allah akan benar-benar mengecopkan hati-hati mereka kemudian pasti mereka akan menjadi golongan yang lupa."
9. Kesungguhan Nabi s.a.w untuk membakar rumah-rumah orang yang tidak menghadiri solat berjamaah.
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Demi jiwaku yang berada dikekuasaan-Nya, sungguh aku ingin menyuruh untuk mengumpulkan kayu bakar kemudian aku perintah untuk mendirikan solat dan azan baginya, kemudian aku perintah seseorang untuk menjadi imam, kemudian aku mendatangi mereka(orang-orang lelaki) maku aku bakar rumah-rumah mereka beserta orang-orang yang
berada di dalamnya. Demi jiwaku berada dikekuasaan-Nya, andaikata salah seorang dari mereka mengetahui bahawasanya di masjid ada hidangan makanan, pastilah mereka akan menghadiri solat Isya" Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari, berkomentar bahawasanya hadis itu merupakan perintah fardu ain, yang wajib dilakukan oleh setiap individu secara berjamaah di masjid; andaikata hal itu sunat hukumnya, maka tidaklah Nabi s.a.w akan memberi ancaman dengan membakar orang yang meninggalkan solat berjamaah atau seandainya itu merupakan fardu kifayah, pastilah cukup untuk didirikan oleh Rasul s.a.w dengan orang-orang yang bersamanya.
10.Akibat buruk bagi orang yang tidak menjawab seruan Azan untuk melaksanakan sujud (Solat berjamaah).
"Pada hari betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud: Maka mereka tidak kuasa. (Dalam keadaan) pandangan mereka tertunduk ke bawah, lagi mereka diluputi kehinaan. Sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) diseru untuk bersujud, dan mereka dalam keadaan sejahtera." Al-Qalam:42-43
Para mufassirin banyak menerangkan bahawa ayat tersebut ditujukan sebagai ancaman bagi orang yang meninggalkan solat berjamaah sebagaimana yang ditafsirkan Abdullah bin Abbas r.a, Said bin Jubair,Ibrahim Al Nukahai, Ibn Jauzi, Imam Fakhrurazi, dan Imam Ibn Qayyim.
Dapat dirumuskan setelah melihat sendiri dalil-dalil di atas bahawa, mendirikan solat lima waktu secara berjamaaah merupakan suatu ibadah yang sangat ditekankan oleh Allah ta'ala dan Rasul-Nya s.a.w. Para ulamak tidak mensepakati tentang hukumnya. Siapa yang paling hampir kepada kebenaran tentang kedudukan hukum solat berjamaah, hanya Allah yang mengetahuinya. Namun untuk mengambil langkah yang berjaga-jaga ataupun yang dikatakan langkah untuk keluar dari kekhilafan para ulamak, hendaklah kita berusaha dengan sedaya-upaya untuk tidak meninggalkan solat secara berjamaah melainkan ada keuzuran yang syari'e sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam al Syafi'e dalam kata-katanya yang tersebut. Wallahu'alam.
Rujukan Utama: Keutamaan Solat Berjamaah, Dr. Fadhal Ilahi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment