Tuesday, October 21, 2008

QURBAN FOR HUMANITY AND SOLIDARITY



QHS - QURBAN FOR HUMANITY AND SOLIDARITY

Kos: Hanya RM 290 satu bahagian lembu @ seekor kambing.

Sasaran: 200 ekor lembu @ 1,400 bhgn.

Anjuran: Aksi Cepat Tanggap (M) Berhad -- (ACT)

Akaun Bank:
Aksi Cepat Tanggap (M) Berhad,
Maybank Acct. No: 562142713126
Hubungi: Sekreteriat Program QHS,
3408, Jalan 18/61, Taman Sri Serdang,
43300 Seri Kembangan, Selangor DE.

Tel: 014-9228905 Fax: 03-89425693

e-mail: actmy.care@gmail.com

http://qurbanact.blogspot.com/

http://www.actmalaysia.org/

Sepetang Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil






Sepetang Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com)

Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengupas dan membincangkan cabaran serta kaedah dalam membentuk anak-anak kita menjadi KHALIFAH MASA DEPAN.

Ustaz Hasrizal adalah penulis buku "AKu Terima Nikahnya" dan kolumnis majalah ANIS, "i" serta pemilik blog popular saifulislam.com.

Tempat : Dewan SIRIM, Shah Alam

Tarikh : 8 Nov 2008 (Sabtu) 3-5:30pm.

YURAN:
Pendaftaran Sebelum 26 Okt:
RM50 seorang, RM85 pasangan

Selepas 26 Okt:
RM65 seorang, RM100 pasangan.


TEL : 8024 8664 / 016 2955026 / 012 3112400

Maklumat lanjut? Layari http://www.ummikusayang.com/

Tuesday, October 14, 2008

Mencari Sedekah Yang Utama





عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أي الصدقة أعظم أجرا؟ قال: (أن تصدق وأنت صحيح شحيح، تخشى الفقر وتأمل الغنى، ولا تمهل حتى إذا بلغت الحلقوم، قلت: لفلان كذا، ولفلان كذا، وقد كان لفلان(.

Daripada Abu Hurairah katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Wahai Rasulullah, manakah sedekah yang lebih utama? Baginda bersabda: "Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan tamak, mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Jangan tangguhkan sehingga nyawa di halkum lalu kamu katakan, ini untuk si fulan, itu untuk si anu, sedangkan ia sudah menjadi hak si fulan itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah merupakah salah satu hukum yang disyariatkan sejak umat yang terdahulu. Antara matlamat utamanya ialah mensucikan hati dari sifat bakhil dan membersihkan harta daripada terambil hak-hak orang lain. Kedua-dua matlamat ini merujuk kepada orang yang bersedekah. Manakala matlamat sedekah dengan merujuk kepada penerima ialah membersihkan hati mereka dari kedengkian terhadap orang kaya dan membantu kehidupan mereka yang susah dan tidak berada.

Hadis di atas lebih merujuk kepada mensucikan hati pemberi sedekah dari sifat bakhil. Nasihat dan panduan daripada Rasulullah s.a.w. supaya umatnya mengikiskan dari hati mereka sifat tamak kepada harta dan cinta dunia.

Sahabat sangat bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu yang utama kerana limpahan rahmat dan keberkatan ada di sebaliknya. Mereka sentiasa bertanya sesuatu yang terbaik dan ganjaran yang maksimun. Daripada sini, kita mengatakan merekalah golongan yang terbaik kerana sentiasa mencari-cari keutamaan.

Sesuatu kebajikan janganlah ditangguhkan kerana kesudahan perjalanan di dunia tidak diketahui. Walaupun kita mempunyai kesihatan yang baik, tidak sepatutnya leka dengan keadaan yang selesa. Kesenangan harta juga tidak berkekalan. Dalam ruang kekayaan yang ada, mestilah direbut segala pahala yang dijanjikan Allah.

Harta diciptakan Allah supaya menusia memanfaatkannya dalam menjalani tugas sebagai hamba-Nya dan khalifah di bumi ini. Harta dijadikan untuk dibelanjakan pada jalannya. Setiap manusia mempunyai keperluan yang tidak berada pada satu peringkat sebagaimana harta yang ada pada setiap orang tidak sama. Melalui kerjasama dalam bentuk infaq seperti sedekah dan zakat jurang ketidaksamaan itu dapat didekatkan.

Kebakhilan dengan harta boleh membinasakan diri begitu juga sikap boros dan membazir. Yang terbaik adalah bersederhana. Allah s.a.w. berfirman:

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (al-Isra': 29)

Sifat bakhil dilarang kerana ia menyekat harta daripada memainkan peranannya iaitu memenuhi keperluan manusia. Sementara boros dilarang kerana ia adalah satu bentuk penggunaan harta yang tidak bermatlamat.

Sedekah yang diberikan di ambang maut tidak mempunyai apa-apa kelebihan apatah lagi jika orang lain bersedekah untuk pihaknya. Semuanya tidak mempunyai makna kerana dalam keadaan demikian harta itu tidak lagi menjadi miliknya tetapi milik warisnya. Dalam hal ini Allah s.w.t. mengingatkan:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Pada masa itu sedekah itu bukan dilakukannya sendiri tetapi dilakukan oleh warisnya dengan hartanya.

Dalam hadis ini juga Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan gangguan yang biasa dialami oleh orang yang bersedekah iaitu mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Gangguan ini tidak lain dan tidak bukan dari syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan dalam hati manusia. Semuanya akan dapat diatasi dengan meyakini ganjaran yang dijanjikan Allah. Sedekah tidak akan menjadikan seseorang itu faqir malah kebakhilan akan membinasakan diri manusia dan hartanya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

)ما من يوم يصبح العباد فيه، إلا ملكان ينزلان، فيقول أحدهما: اللهم أعط منفقا خلفا، ويقول الآخر: اللهم أعط ممسكا تلفا(.

"Pada setiap hari manusia berada pada waktu pagi dua malaikat turun lalu seorang daripada mereka mengucapkan: "Ya Allah, berilah gantian kepada orang yang melakukan infaq" dan seorang lagi pula mengucapkan: "Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan diri dari membelanjakan harta."


Biasanya dalam keadaan kesenangan dan sihat manusia sering melupakan kehidupan akhirat. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan kepada kita supaya sentiasa mengingati kematian dan bersedia untuk menghadapinya.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com)

Menyerikan Kehidupan Dengan Hadis Rasulullah S.A.W.





عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

Daripada Zaid bin Thabit katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang yang membawa ilmu lalu menyampaikannya kepada orang yang lebih faham daripadanya dan berapa ramai orang yang membawa ilmu tetapi ia tidak memahaminya." (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan kelebihan menyebarkan ilmu hadis iaitu kehidupan akan menjadi berseri dan bercahaya. Kata Sufyan bin`Uyainah: "Tidak ada seorangpun dari kalangan ahli Hadis melainkan pada wajahnya ada sinar berdasarkan kepada hadis ini" (al-Suyuti, Tadrib al-Rawi Syarh Taqrib al-Nawawi, hal. 360)

Rasulullah sa.w. mendoakan khusus untuk umatnya yang melibatkan diri dengan pengajian hadis. Tidak ada doa yang dapat menandingi doa baginda kerana ia pasti diterima.

عن ابن عباس قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : اللهم ارحم خلفاءنا » ، قلنا : يا رسول الله ، وما خلفاؤكم ؟ قال : « الذين يأتون من بعدي ، يروون أحاديثي وسنتي ، ويعلمونها الناس

Daripada Ibn 'Abbas katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, rahmatilah khalifah-khalifah kami. Kami bertanya. "Siapakah khalifah-khalifahmu? Baginda menjawab: "Mereka yang datang selepasku dan meriwayatkan hadis-hadisku dan sunnahku serta mengajarkannya kepada orang ramai" (hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat)

Doa dalam hadis pertama dengan seri dan cahaya manakala dalam hadis kedua doa dengan mendapat rahmat daripada Allah.

Ilmu hadis adalah ilmu yang mulia kerana ia merupakan penghubung antara kita dengan Rasulullah s.a.w. Segala perkara yang berkaitan dengan Rasulullah s.a.w. sama ada ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat akan diketahui bagi sesiapa yang melibatkan diri dengan ilmu hadis. Dengan mempelajari ilmu ini, kita dapat mengenal pasti kesahihan sesuatu perkara yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebaliknya, jika tidak ada ketelitian dan kecermatan, pasti akan mendapat ancaman dan amaran daripada baginda.

عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Daripada Hafs bin 'Asim katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar". (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Daripada al-Mughirah katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya berdusta atas namaku bukan seperti berdusta atas nama salah seorang kamu. Maka sesiapa dengan sengaja berdusta atas namaku, hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, hadis di atas juga mengisyaratkan beberapa kaedah yang mesti dijaga dalam periwayatan hadis. Pertama, memastikan kesahihan berita yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bukanlah setiap yang dikaitkan dengan baginda boleh diterima terus tanpa diselidiki. Ia mestilah dikaji dan dinilai mengikut kaedah riwayah dan dirayah.

Kedua, mendengar dengan penuh perhatian supaya lafaz asal dijaga dan diingati. Setiap lafaz perlu diteliti kerana kesilapan lafaz boleh membawa kepada perubahan makna yang membawa kepada berlakunya tashif. Tashif adalah kesilapan yang dilakukan oleh perawi dalam menerima dan menyampaikan hadis yang menyebabkan hadis menjadi dha`if.

Ketiga, setiap hadis yang dipelajari mestilah disampaikan kerana di kalangan yang mendengar itu ada yang mempunyai kefahaman yang lebih dan hadis itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kefahaman tentang hadis termasuklah mengkaji dan merenung maksud-maksudnya serta menyimpulkan hukum dan pengajaran daripadanya.

Seseorang yang mempelajari hadis akan sentiasa menyesuaikan dirinya dengan sunnah dan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dia menyedari bahawa setiap aspek kehidupannya akan ada kaitan dengan Rasulullah s.a.w. Ini kerana keperibadian Rasulullah s.a.w. bukan setakat rasul membawa risalah Allah tetapi meliputi tanggungjawab sebagai guru, pendidik, pemimpin, hakim, panglima tentera, ketua keluarga, suami, bapa, datuk, jiran tetangga, sahabat kepada temannya. Justeru, amat wajarlah, kita mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. kerana tugas hidup setiap individu tidak terlepas satupun daripada aspek di atas. Berdasarkan kepada hakikat inilah Allah s.w.t. menitahkan kepada kita supaya menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan.

Mengapa kehidupan bercahaya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.?

Rasulullah s.a.w. sendiri adalah cahaya. Allah s.w.t. menyifatkan baginda sebagai cahaya petunjuk dan juga pembawa rahmat. Pengutusan baginda bersifat dengan cahaya lantaran al-Qur'an yang baginda diperintahkan supaya menjelaskannya kepada umat adalah cahaya. Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ . يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci dan Dia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (al-Maidah 15-16)

Lafaz-lafaz hadis yang dibaca dan didengar lalu diulang-ulang akan menghasilkan pancaran cahaya dalam kehidupan seseorang. Mengapa tidak berlaku demikian sedangkan tugas Rasulullah s.a.w. adalah untuk menjelaskan maksud al-Qur'an yang datang dari Allah yang memberikan cahaya kepada alam semesta. Dialah yang menciptakan cahaya dan dari-Nya datangnya cahaya itu.

Sejarah mencatatkan pengalaman ulama hadis yang hidup mereka sentiasa diberkati Allah kerana seluruh hidup mereka diabadikan untuk mengumpulkan hadis-hadis dan menghuraikannya. Walaupun hidup dalam keadaan kesukaran dan kesempitan, hati mereka sentiasa tenang. Tidak lain dan tidak bukan kerana yakin, mengharapkan dan menanti ganjaran pahala di akhirat.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.com)

Kuliah Mingguan Di Akademi al-Faqeh



Program Kuliah Mingguan Di Akademi al-Faqeh, Taman Mutiara, Bukit Raja, Klang. (35A, Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja, Klang)

Minggu Pertama, 8.00-10.00pm

Sabtu:
Kuliah Fiqh al-Wajiz, bersama ustaz Azahari Murad.


Ahad:
Kitab Tauhid, bersama ustaz Helmi Abdul Rahim.

Minggu Kedua, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu:
Kuliah Tafsir al-Qur'an bersama ustaz Sofwan Badri.


Ahad:
Kuliah Syarah Rukun Islam, bersama ustaz Helmi Abdul Rahim.

Minggu Ketiga, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.

Sabtu:
Kuliah Fiqh al-Wajiz, bersama ustaz Azahari Murad.


Ahad:
Kuliah umum & pembentangan kertas kerja, bersama Ustaz Rasul Dahri.

Minggu Keempat, 8.00-10.00pm:

Jumaat:
Kuliah Tajwid & Qiraat, bersama ustaz Abu Ruwais asy-Syubrawi.


Sabtu:
Kuliah Syarah Hadis 40, bersama ustaz Firdaus Muhammad Saad.


Ahad:
Kuliah Syarah Ushul Tsalasah, bersama ustaz Zulfaqar.

Info Lanjut:
More info – call 016-2091531 (Saudara Adi Negara)
www.al-faqeh.blogspot.com

Kelab Minda Tajdid



Tujuan Penubuhan Kelab:

1. Untuk melaksanakan tanggungjawab bantu-membantu dalam menyebarkan mesej Islam yang indah kepada masyarakat muslim dan non-muslim. Ia selaras dengan arahan Allah dan RasulNya agar setiap kita tolong-menolong demi kebaikan dan menyampaikan risalah Islam yang sebenar.
2. Menjadi saluran ilmu dan idea antara sesama ahli ke arah pembinaan minda dan jiwa.
3. Memanfaatkan kelebihan setiap ahli dalam melaksanakan tugasan menyampaikan kebenaran dan ilmu.
4. Mengeratkan ukhuwwah sesama ahli supaya dapat kenal mengenal dan bantu membantu antara satu sama lain.

Layari www.drmaza.com

Apabila Ketamakan Menguasai Jiwa

Apabila Ketamakan Menguasai Jiwa

Jika anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mestilah berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman. Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran.

Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat yang asal.

Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap tujuan kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah islam bertujuan memperolehi habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi sekarang..

Pagi semalam (sabtu) saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang dahulunya pensyarah UIAM dalam bidang ekonomi Islam. Beliau meninggalkan jawatannya kerana masuk bertanding dalam pilihanraya yang lepas dan tewas. Saya kenal kesungguhan cita-cita Islam dan kebaikan dirinya. Dia bukan sahaja memiliki Ph.D dalam bidang ekonomi Islam, bahkan mempunyai pengetahuan dan disiplin Islam yang baik dalam perkara-perkara yang lain.

Namun mungkin masa tidak menyebelahinya, walaupun hasratnya baik untuk membaiki kepincangan politik. Sehari dua ini, parti yang dimasukinya sibuk membuat mencalonan jawatan itu dan ini, dan dia juga mencuba nasib untuk jawatan ketua pemuda di suatu bahagian tertentu. Dalam mesejnya itu, setelah menyatakan parti yang dimasukinya tidak sesuai lagi untuk orang sepertinya, dia menyebut: “Saya kalah kepada lawan yang tidak lulus SPM, kerja penyeludup beras dan bekas penagih ubat batuk hanya kerana wang. Dia diongkosi oleh Ketua Bahagian yang melihat saya sebagai ancaman. Jawatan parti hari ini adalah jawatan yang disandang berasaskan siapa yang dapat membida harga tertinggi bukan siapa yang berkualiti dan mahu berbakti”.

Mesejnya jelas menunjukkan dia amat kecewa dengan partinya. Itulah natijahnya apabila politik yang bertujuan untuk membaiki dan mengendalikan urusan umat agar selaras dengan kehendak wahyu dijadikan medan pertaruhan demi membolot harga dan kuasa, maka manusia atau organisasi itu akan menjadi binasa.

Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’.

Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi s.a.w terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:


“Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.

Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, menjadi rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran.

Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya semata kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan.

Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran itu pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.

Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat pun Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid untuk panjang-panjang. Sebaliknya disuruh untuk kita bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai Solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)” (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10).

Dalam ayat ini juga menunjuk Hari Jumaat pun tidak disuruh kita menutup kedai sepanjang hari, sebaliknya hanya disuruh meninggal perniagaan apabila azan dilaungkan. Jika kedai ditutup pada Hari Jumaat, tentu tiada faedah Allah mengarahkan agar meninggalkan jual beli apabila mendengar azan. Selepas Solat Jumaat disuruh sambung bekerja. Demi sesungguhnya Islam tidak anti-harta. Bahkan Nabi s.a.w. menyebut:

“Sebaik-baik harta yang baik adalah untuk seseorang yang baik” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apa yang Islam musuhi adalah ketamakan. Apabila kegilaan kepada harta memalingkan tujuan atau matlamat kehidupan, maka harta adalah perosak. Apabila kehendakan kepada harta memusnahkan agama, politik, keadilan maka harta itu menjadi fitnah. Ia akan memusnahkan rangkaian masyarakat muslim dan dunia keseluruhannya.

Hari ini dunia menderita disebabkan dasar kapitalisma yang diamalkan oleh para penindas yang menghisap darah rakyat di negara yang lemah. Kegilaan dalam mengaut keuntungan tanpa sempadan kemanusiaan telah memporak perandakan imbangan kehidupan manusia di dunia ini. Sehingga ada negara yang begitu miskin dan melarat, sedangkan di negara lain manusia begitu mewah melepasi sempadan igauan. Ketamakan harta jugalah sebenarnya yang menimbulkan kefakiran.

Maka perlaksanaan sistem Islam dalam ekonomi mestilah dapat menangkis kerakusan manusia dalam membolot harta sehingga menindas orang lain. Maka Islam mengharamkan riba kerana itulah pintu kepada kerakusan. Sistem riba itulah sekarang ini yang memiskinkan sejumlah besar manusia dalam dunia ini. Jika ada pengurusan kewangan atau perniagaan yang cuba menggunakan nama Islam tetapi tidak melepaskan diri dari unsur penindasan, maka Islam itu hanya sekadar kosmetik sahaja tanpa makna.


Barangkali orang ramai akan menyangka pengurusan itu sangat Islamik sebab ada ‘panel syariah’ yang dibayar elaun oleh pihak yang meminta difatwakan untuk bisnes mereka. Namun jika fatwa itu gagal membebas pihak yang berurusan dari penindasan ekonomi, maka itu bukan syariah namanya. Jika fatwa yang diberikan itu membebaskan pengurusan ekonomi dari unsur kezaliman dan penindasan, maka panel tersebut benar-benar menunaikan amanah ilmu.


Jangan sampai jadi cerita kononnya satu syarikat telekomunikasi yang berhempas pulas menghalal pertaruhan yang bersifat judinya dengan menjanjikan jawatan kepada seorang panel syariah yang akan dilantiknya.

Sebab itu Allah menyebut harta sebagai musuh dan fitnah iaitu ujian. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah al-Anfal, ayat 28).

Maka, kerana harta manusia sanggup jual agama atau menyalahgunakannya. Agama Allah yang diturunkan untuk memberi hidayah kepada manusia telah dijadikan saluran untuk memakan harta orang lain dengan cara yang tidak benar. Allah menyebut tentang perangai ahli-ahli dahulu yang mengetahui Taurat dan Injil tetapi menyalahgunakannya.

Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam)..” (Surah al-Taubah ayat 34).

Perangai Ahlul Kitab berterusan sehingga ke zaman ini.

Kematian merupakan kesedihan dan kita disuruh membantu keluarga si mati. Namun berapa ramai manusia yang menggunakan nama agama mengambil bayaran itu dan ini daripada keluarga si mati. Direka bacaan dan solat itu dan ini yang tidak buat oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah, lalu bayarannya dikenakan kepada keluarga si mati. Seakan di tangan golongan yang mengambil kesempatan inilah kunci pahala.

Inilah masalahnya, jika kita berfikir bagaimana ingin menjadikan Islam sebagai punca mengaut keuntungan, maka agama ini akan menjadi mangsa. Saya masih teringat cerita bagaimana ada pihak tertentu yang menubuhkan persatuan ‘solat jenazah’ dengan tujuan menghasilkan pendapat sampingan. Apabila ada saja kematian maka mereka pun akan dijemput dengan bayaran tertentu. Tanpa bayaran mereka tidak akan hadir.

Upacara-upacara ‘tambahan’ yang dikaitkan dengan agama juga akan diwujudkan yang mana bilnya terpaksa dibayar oleh keluarga si mati. Apabila mereka hadir ke tempat kematian wajah mereka kelihatan sedih dan sayu. Namun, apabila banyak hari tiada kematian atau pihak yang menjemput bagi upacara kematian, mereka sesama sendiri bersungut ‘tiada siapa-siapa yang nak mati ke? Sekurang-kurangnya lepas juga duit kopi..”

Maka, tidaklah dapat diketahui, apakah mereka suka dengan kematian atau dukacita mengenangkan keluarganya? Adakah di sana akan terdapat keikhlasan doa daripada mereka yang bersolat jenazah untuk mendapatkan upah? Namun masyarakat yang jahil termakan juga..

Bukan sedikit manusia yang berfikir bagaimana untuk menggunakan kehendak orang ramai kepada agama sebagai sumber pendapatan. Umpamanya, saya amat terkejut apabila dimaklumkan ada syarikat yang mengambil upah ‘menyamak’ rumah atau bangunan yang hendak didiami oleh orang Islam.

Barangkali rumah tersebut akan dibasuh dengan selut kerana bimbangkan penghuni bukan muslim yang tinggal sebelumnya membawa masuk anjing atau babi. Sedangkan Allah memaafkan apa yang tidak diketahui dan zahir. Namun mereka berlebih-lebihan. Maka habislah rumah dan bangunan itu berlumuran selut. Kosnya pun boleh tahan.

Namun, seperti mana sebahagian mereka yang terpengaruh dengan kempen ‘jualan langsung’ maka ada orang Islam yang menempah ‘kontrak selut’ itu kerana kononnya nanti solat tidak diterima Allah sebab ada kesan najis yang kita tidak nampak. Untunglah syarikat berkenaan apabila ada yang tidak faham hakikat Islam atau berjaya dikaburkan atas nama Islam. Padahal, pada zaman Rasulullah s.a.w anjing berkeliaran dan ramai orang arab yang membela anjing.

Apabila Islam datang, Islam mengizinkan anjing digunakan untuk buruan dan menjaga keselamatan, tetapi tidak untuk belaan biasa di rumah. Pada masa dahulu, para sarjana Islam mengulas larangan tersebut menyatakan antara hikmah daripada larangan tersebut kerana anjing yang dipelihara di rumah boleh menimbulkan ketakutan kepada tetamu yang datang, menyalak tidak menentu dan sebagainya yang mempunyai kemungkinan yang besar mengganggu orang lain. Sains moden juga membuktikan adanya ancaman penyakit dari haiwan berkenaan.

Namun baginda tidak pernah pun mengarahkan supaya mana-mana sahabah baginda menyamak satu rumah. Paling tinggi baginda menyebut tentang jilatan anjing:

“Apabila anjing menjilat bekas kamu, maka basuh sebanyak tujuh kali” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat lain ditambah lafaz “ke tujuhnya dengan tanah” ada pula yang menyebut kali ke lapan (Riwayat Muslim).

Ulama berbeza pendapat tentang anjing. Ada yang menyatakan, berdasarkan hadis hanya jilatan anjing sahaja yang wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan bersama tanah pada kali ke tujuh, atau ke lapan. Ada yang meluaskan sehingga sentuhan basah anjing pun wajib dilakukan demikian, walaupun hadis tidak pun menyebutnya. Ada yang berpendapat, basuhan dengan air tanah hanya pilihan. Apa pun, Nabi s.a.w tidak pula menyebut mesti menggunakan selut dan menyuruh menyamak bangunan atau rumah. Apatah lagi jika tidak nampak kesan najisnya. Namun, akal bisnes kadang-kala lebih lajak dari lajunya.


Sumber: www.drmaza.com